July 10, 2008

27. Antara Fushah dan Ammi 2

Bahasa Arab merupakan bahasa yang unik dan menarik, ia juga adalah bahasa rasmi bagi agama Islam, kerana itu ia perlu diberi perhatian yang sewajarnya agar ketulinan dan kesinambungannya terpelihara. Al-Quran sebagai pelembagaan kepada agama Islam juga telah diturunkan dalam Bahasa Arab.

Secara amnya, Bahasa Arab merupakan eleman yang penting untuk menyatukan bangsa dan ia juga mencerminkan ketamadunan bangsa tersebut. Selain itu, bahasa Arab juga merupakan lidah rasmi bagi seruan Ilahi dan gedung simpanan ajaran Islam untuk penganutnya. Ia juga memainkan peranan yang cukup besar dalam mengembalikan kepercayaan manusia daripada menyembah berhala kepada menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Apa yang lebih mengagumkan kita lagi, Bahasa Arab juga merupakan bahasa perantaraan makhluk kepada Penciptanya, umpama ibadah harian kita iaitu sembahyang. Tidak sah sembahyang seseorang itu jika tidak menggunakan Bahasa Arab. Ini jelas menunjukkan kepada kita satu ikatan yang sangat kukuh di antara Bahasa Arab dan al-Quran yang tidak mungkin didapati pada bahasa-bahasa lain di dalam kitab suci mereka.

Islam adalah agama yang begitu sinonim dengan Bahasa Arab dan dunia tidak akan mengenali Islam tanpa al-Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ajaran Islam mewajibkan ke atas penganutnya untuk mempelajari bahasa ini dan memahaminya. Sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Taimiah “Seseungguhnya Bahasa Arab itu adalah sebahagian daripada agama, mengetahuinya adalah satu kewajipan kerana memahami al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib dan keduanya tidak akan dapat difahami kecuali dengan memahami Bahasa Arab”. Disandarkan lagi kepada satu kaedah yang menyebut, “sekirannya kewajipan sesuatu perkara itu terikat dengan satu perkara yang lain maka perkara itu menjadi wajib”. Saidina Umar r.a juga pernah berkata “pelajarilah bahasa Arab kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada agama kamu”. Apabila kita membincangkan tentang Bahasa Arab, maka sudah tentu ia adalah Bahasa Arab Fushah (baku dan tulin). Bahasa Arab Fushah merupakan bahasa asal Arab yang dapat difahami oleh seluruh bangsa Arab walau dari negara mana sekalipun dan bahasa inilah yang telah menyatukan bangsa-bangsa Arab dan seterusnya menghapuskan perselisihan yang berlaku sesama mereka.

Dewasa ini menyaksikan Bahasa Arab Fushah sedang hangat disaingi oleh Bahasa Arab Ammi (bahasa pasar) dengan begitu meluas sekali. Sehingga ada yang mencadangkan agar Bahasa Arab Ammi dijadikan bahasa kedua yang digunakan secara rasmi di media cetak atau elektronik, diberikan pengiktirafan untuk dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan dikaji kesusasteraan yang ada padanya. Cadangan ini dilihat sebagai satu usaha yang sangat merbahaya bertujuan untuk memecah belahkan kesatuan bangsa Arab dan akhirnya menjauhkan mereka daripada memahami bahasa al-Quran itu sendiri.Perlu dibezakan di sini di antara lahjah (loghat setempat) dan ammi (bahasa pasar). Lahjah ialah perbezaan daripada segi sebutan huruf seperti huruf qaf disebut ga, tetapi bahasa Arab Ammi merupakan bahasa kedua yang tidak mempunyai teori di dalam penggunaannya. Ia adalah hasil campuran daripada Bahasa Arab Fushah yang telah diubah cara sebutannya dan bahasa asing (bukan Arab) yang tidak diketahui asal usulnya. Bahasa Arab Ammi inilah yang telah diguna pakai oleh hampir keseluruhan bangsa-bangsa Arab termasuk para ulama’ dan sasterawan. Jika diperhatikan dengan lebih mendalam lagi, fenomena ini mampu mengugat bahasa Arab Fushah itu sendiri untuk terus kekal sebagai bahasa rasmi dan berkemungkinan ia akan dipinggirkan sedikit demi sedikit sehingga tidak lagi diguna pakai kecuali pada ruang lingkup yang agak kecil.Menyedari hakikat ini, muncullah beberapa usaha untuk mengangkat dan memartabatkan semula Bahasa Arab Fushah di samping menenggelamkan terus pengaruh bahasa Arab Ammi yang kian menular di kalangan masyarakat Arab. Usaha-usaha tersebut dijalankan bermula di peringkat sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi di mana pemahaman tentang peri pentingnya penguasaan Bahasa Arab Fushah ini diterapkan kepada golongan pelajar dan juga mahasiswa.

Usaha-usaha ini juga secara tidak langsung diterapkan melalui pertukaran kemahiran-kemahiran di dalam bidang tertentu di antara negara-negara Arab yang akan menyebabkan mereka terpaksa berkomunikasi sesama mereka dengan menggunakan Bahasa Arab Fushah. Ini merupakan satu usaha dan perkembangan baik yang tidak dapat dilihat sejak 50 tahun dahulu. Sebagai contoh amat sulit bagi orang Arab Syria untuk memahami perbualan orang Arab Maghribi dan begitu juga sebaliknya, malahan bahasa Arab Fushah ini kebanyakannya difahami oleh golongan tertentu sahaja seperti mereka yang berpendidikan tinggi. Tetapi sekarang keadaannya sudah agak berbeza, mereka sudah mampu berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Arab Fushah seratus peratus atau hampir-hampir kepada bahasa Arab Fushah walaupun mereka terdiri daripada golongan masyarakat biasa. Ini adalah satu rahmat dan kehendak Allah s.w.t untuk terus memelihara Islam dan al-Quran daripada terus terpesong atau pupus tanpa penganut yang benar-benar memahami kedua-duanya. Pemeliharaan Allah s.w.t dan usaha daripada kita jugalah yang akan menyebabkan Bahasa Arab terus terbela dan mendapat tempat utama di sisi masyarakat Arab khususnya. Melihat kepada perkembangan tersebut, kita mengharapkan agar bangsa Arab terus mengambil berat dan berbangga terhadap Bahasa Arab yang telah banyak membawa kejayaan kepada mereka. Jika sekiranya usaha-usaha yang telah dijalankan untuk memartabatkan Bahasa Arab Fushah ini berterusan, tidak mustahil bangsa arab akan kembali menggunakan bahasa asal mereka sehinggalah sesama masyarakat setempat, insya-Allah.

Di antara matlamat yang diharapkan untuk menjayakan usaha ini dalam penerapan pendidikan Bahasa Arab Fushah ialah melalui percakapan yang baik, pembacaan yang peka dan berkesan, pemahaman yang sempurna dan penulisan berkualiti yang mampu mencetus karya–karya sastera yang berkualiti tinggi. Perlu kita fahami di sini, bahawa penggunaan Bahasa Arab Fushah dalam komunikasi seharian sama ada melalui penulisan mahupun percakapan sebenarnya boleh membantu dalam menjaga warisan peradaban bangsa Arab itu sendiri, tahukah kita bahawa setiap perkataan Bahasa Arab ini sebenarnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri, seolah-olah sejarah dan adat lama mereka terus hidup untuk meriwayatkan kembali kisah silamnya. Begitulah hebatnya ciptaan Tuhan dalam menjadikan sesuatu perkara. Oleh itu, marilah bersama kita memelihara Bahasa Arab Fushah ini daripada anasir-anasir yang boleh melemahkannya kerana dengan lemahnya Bahasa Arab akan lemahlah kesatuan bangsa dan akhirnya menyebabkan bangsa Arab akan berpecah belah dan bercakaran tanpa kesudahan. Jika ini benar-benar terjadi, Islam akan lemah dan terpinggirlah al-Quran, kesempatan ini akan diambil oleh golongan yang bencikan Islam untuk menjatuhkan Islam. Sebaliknya dengan terpeliharanya Bahasa Arab, kesatuan bangsa Arab akan terus terjamin dan umat Islam akan terus kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar di mana sumber utamanya adalah al-Quran

Dipetik daripada laman web persatuan pelajar malaysia syria

No comments: