September 13, 2008
50. Depan ada buaya
Klip video pilihan bulan ini, iklan raya tahun 2003. Walaupun dah lama berlalu, tapi ada sati scene yang membuatkan ak tergelak sakan. Hahahaha...Masa usu jatuh tergolek nak kejar abang dia pergi cari daging. Ak tengok scene tu macam real je, bukan yang jatuh buat-buat..Korang fikir la sendiri..
Moral dari klip video ni :
1. Patuhi arahan ibu dan bapa kerana keberkatan hidup kita terletak kepada keberkatan kedua-dua ibu bapa kita. Tapi dalam klip ni ibu je sebab tajuk video ni pun janda anak tujuh.
2. Berusaha sehabis mungkin untuk memenuhi hajat ibu dan bapa.
3. Jangan percaya cakap orang yang kena tinggal..haha..macam usu yang kena tinggal oleh abang2 dia
ada banyak lagi..korang list la sendiri...Enjoy it
September 12, 2008
49. Paksaan dalam tarbiyah. Wajarkah?
Sebagai seseorang yang pernah menjalani proses tarbiyah di Kolej Islam dulu, saya hanya mampu menceritakan secebis pengalaman sepanjang mengalami proses tersebut. Pelajar form 4 khususnya akan menjalani proses tarbiyah yang merupakan salah satu keunikan di KISAS selain daripada friends, teachers, ukhwah dan biah solehah. Selalunya tarbiyah dilakukan oleh senior-senior kami dari pelajar form 5 dan ada juga pelajar form 6 yang terlibat. Sepanjang proses tersebut, pelajar-pelajar form 4 diwajibkan agar mengikuti segala program-program keagamaan di asrama khususnya dan di sekolah. Ini termasuklah program seperti kuliah-kuliah selepas solat fardhu, bacaan Al - Mulk sebelum tidur, bacaan Al - Mathurat, Program tahsin Al - Quran sebelum Maghrib dan banyak lagi. Sekiranya didapati ada pelajar yang melanggar atau tidak mengikuti program yang dijalankan, ada la denda atau pun akibatnya. Tujuannya adalah untuk mendidik kami pelajar form 4 khusunya agar mematuhi peraturan dan tidak terlepas dari mengikuti program tarbiyah ini.
Berbalik kepada soalan tadi, "Wajarkah paksaan digunakan dalam proses tarbiyah?" Pada hemat saya, kalau dalam skop pelajar, wajar digunakan tetapi dengan cara yang berhikmah. Bukan dengan menurut hawa nafsu dan untuk melepaskan geram kepada seseorang. Ini kerana, saya pernah mendengar cerita yang menyatakan pada zaman Rasulullah s.a.w dulu pun, pernah suatu ketika sahabat atau Rasulullah sendiri membetulkan saf peperangan dengan menggunakan pedang. Biarpun arahan untuk membetulkan saf atau barisan peperangan tadi hanya boleh dilakukan dengan hanya kata-kata, tapi dalam peristiwa ini pedang yang digunakan sebagai ganti. Kesahihan cerita ini saya kurang pasti. Harap dirujuk kembali.
Tujuan tarbiyah itu adalah untuk membentuk peribadi dan sahsiah yang elok terhadap individu yang ditarbiyah itu tadi. Jadi jika dalam skop pelajar sekolah, wajar dilaksanakan paksaan. Tetapi sepeti yang dinyatakan awal tadi, mestilah mengikut cara yang berhikmah bukan untuk melepaskan geram kepada seseorang sahaja. Jika sekadar hanya secara berlembut, dibimbangi pelajar-pelajar tidak merasa gerun dalam hati mereka untuk meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah. Ini kerana pada zaman sekarang, banyak budaya dan cara hidup yang tidak baik telah meresap masuk ke dalam hati pelajar-pelajar sekolah khusunya. Jika perkara ini tidak dibendung, dibimbangi menjadi lebih teruk.
Setakat ini sahaja pandangan saya untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh Nawfal Timur.
p/s : kalau ada salah dan silap harap diperbetulkan
September 11, 2008
48. Rahsia di sebalik الصوم
اللهم انك تحب العفو فاعفوا عنا وعن والدينا وعن جميع المسلمين والمؤمنين والمؤمنات ..آمين... يا رب العالمين
Rahsia Huruf dalam kalimah صوم
Shaum ertinya Puasa..
Huruf Shad - mengisyaratkan الصبر = Sabar.
"Sesungguhnya dibalasi pahala orang yang bersabar dengan tanpa Hisab".. al Quran.
Huruf Waw- mengisyaratkan الورع = Wara. iaitu meninggal perkara yang samar (syubhat).
" Wara itu penghulu amalan" -al hadis riwayat al Tirmizi.
Huruf Mim- mengisyaratkan المحسن = Muhsin. Berbuat ihsan.
" Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berlaku IHSAN diatas setiap perkara"- al hadis riwayat Muslim.
Sangatlah perlu memerhatikan tiga sifat ini apabila seseorang itu sedang berpuasa. Kebiasaannya perkara-perkara yang menjuruskan kepada tiga perkara inilah atau sebaliknya yang menjadi fokus latihan, ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t kepada kita ketika menjalani ibadah puasa yang sempurna. Samaada puasa tingkatan khusus atau khusus al khusus. Sebaliknya kemungkinan puasa awami yang kita miliki, yang hanya menahan lapar dan dahaga disiang hari, jika kita tidak menjaga dan mengawasi ketiga-tiga perkara tersebut.
Allahu Musta'an...
September 3, 2008
47. Ustazah Fatimah enggan dipisah dengan muktamar

IPOH, 2 Sept (Hrkh) - Biarpun muktamar PAS kali ke-54 sudah lebih dua minggu berlalu, namun bagi bekas Ketua Muslimat PAS Kedah, Ustazah Fatimah Ramli, 68 ia menjadi kenangan baginya kerana sanggup datang dengan berkerusi roda.Lebih membanggakan lagi beliau tetap setia di ruang pemerhati muslimat sejak hari pertama muktamar yang diadakan di Stadium Indera Mulia sehinggalah hari terakhir."Biar pun terpaksa berkerusi roda dan kurang sihat, namun keinginan datang ke muktamar tetap kuat bagi mengikuti ucapan dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan perbahasan perwakilan.
"Dulu makcik boleh berdiri kuat dan sering menjadi perwakilan dari Kedah ke muktamar seperti ini," ujarnya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau yang begitu terharu apabila mengimbaukan kenangan manisnya ketika menjadi Ketua Muslimat PAS Kedah pada tahun 1970-an.
Menurutnya juga beliau dapat berbangga kerana anak-anaknya turut mengikut menjejaki langkahnya bagi meneruskan perjuangan bersama gerakan Islam di negara ini.
Antaranya anggota jawatankuasa PAS Perlis, Mohd Nor Salleh.
"Makcik datang ke muktamar dengan dibantu anak lelaki yang bersusah payah. Makcik amat terharu kerana muktamar tahun ini diadakan di sebuah negeri yang asal dilahirkan PAS. Diharap tahun hadapan diadakan di Kedah," ujarnya. - mj _
p/s : tok ak masuk internet
46. Fadhilat ramadhan 2
Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
September 2, 2008
45. Fadhilat Ramadhan 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".
Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."
Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."
September 1, 2008
44. Ramadhan datang lagi
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
